Tentang Pameran
Pameran KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara ini mengetengahkan karya-karya yang menggambarkan sosioekonomi tanah air di era sebelum merdeka sehingga dekad 1980-an. Ketika itu, sumber ekonomi negara lebih banyak bergantung kepada sumber asas seperti pertanian dan perlombongan. Malaysia, sebuah negara hutan hujan tropika kaya dan subur muka buminya. Kerana itulah pada abad ke-14 sehingga sebelum kemerdekaan, Tanah Melayu merupakan lubuk emas dan pernah menjadi pusat perdagangan di Zaman Kesultanan Melayu Melaka serta mengundang kepada penjajahan kuasa asing ke atas tanah air ini seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun.
Setelah merdekanya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, ekonomi negara kian diperkata dan diperhatikan. Pembangunan dan perkembangannya kian dititikberatkan sehinggalah Bank Negara Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1959. Dasar Ekonomi Baru diwujudkan pada tahun 1970 menerusi Rancangan Malaysia Kedua (1971 – 1975) dan Buku Hijau telah dilancarkan pada tahun 1974 bagi membaik pulih ekonomi hidup rakyat dan negara secara keseluruhannya.
Pameran KERINGAT ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Pertanian, Perikanan, Perlombongan dan Perniagaan Kecilan. Sebelum ini, kita didedahkan dengan maklumat daripada laporan bertulis yang merangkumi data dan angka yang melaporkan keadaan semasa ketika itu. Kali ini laporannya digambarkan, yang dizahirkan secara visual daripada pengamatan, pengalaman mahupun pembacaan seniman. Ia antara bukti tambahan bagi menunjukkan latar suasana ketika itu terutamanya untuk generasi kini agar lebih memahami dan melihat daya usaha para pendahulu negara ini dari perspektif dan medium yang berbeza. Turut diserlahkan dalam pameran ini adalah peranan para seniman dalam ‘menyatakan’ usaha gigih para pendahulu negara; petani, peladang, nelayan, pelombong dan peniaga kita yang sama-sama membentuk asas, landskap dan perkembangan ekonomi negara.
KERINGAT menampilkan karya-karya seni seawal dekad 1940-an antaranya daripada hasil karya seniman yang juga perakam sejarah seperti Abdullah Ariff, Kuo Ju Ping, Yeoh Jin Leng, Ismail Hashim, Mohd Salehuddin, Long Thien Shih, Eric Peris, Wong Kean Choon, Hoessein Enas dan Chang Yoong Chia. Pameran secara maya ini, menampilkan lebih daripada 50 buah karya daripada koleksi para pengumpul seni, seniman dan Bank Negara Malaysia sendiri.
Menerusi pameran ini, diharap ia dapat mengimbau kembali sejarah aktiviti ekonomi negara dan menghargai titik peluh mereka yang begitu berjasa bukan sahaja kepada keluarga malah terhadap perkembangan sosioekonomi negara. Perancangan dan inisiatif pendidikan seperti kursus peladangan dan perikanan serta pembangunan infrastruktur daripada kerajaan dan badan-badan yang berkaitan dapat meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka secara teknikal serta pengurusan dan pemasaran yang lebih berkesan. Kerjasama ini penting bagi memastikan sektor ini terus berkembang maju dan menggalakkan lagi para penggiat muda sebagai generasi pelapis.