Seperti mana sektor pertanian, pada peringkat awal perikanan juga merupakan aktiviti ekonomi sara diri. Ia dijalankan oleh mereka yang tinggal di persisiran pantai dan berhampiran sungai. Pada tahun 1894, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perikanan Kolonial yang mengawal aktiviti perikanan di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Bersekutu. 21 tahun kemudian, Jabatan Perikanan ditubuhkan untuk melindungi dan meningkatkan sumber perikanan serta mempelbagaikan pengeluaran daripada hasilnya.

           Kawasan perairan utama negara berada di Selat Melaka dan Laut China Selatan dan antara negeri yang dikenali dengan aktiviti ini ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah. Permintaan terhadap sumber protein ini meningkat seiring dengan peningkatan penduduk. Hasil tangkapan diperdagangkan dan antara lebihannya dijadikan ikan kering, keropok dan budu yang turut menjana pendapatan penduduk setempat. Pelbagai peralatan digunakan oleh para nelayan di laut, antaranya ialah pukat, jala dan kelong selain daripada pancing dan tangguk di sungai. Selain itu orang Bajau di Sabah juga terkenal sebagai penyelam dan pengutip hasil laut yang berkemahiran.

           Pembangunan perikanan laut dalam secara besar-besaran dilakukan sejak awal 1980-an. Ia telah menyumbang lebih daripada 20% keseluruhan jumlah ikan laut yang didaratkan berbanding daripada perikanan persisiran.

Forest
HOESSEIN ENAS, NAFKAH, 1987
YONG MUN SEN, KELONG, 1946

           Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar penduduk yang menetap di pantai bergantung hidup pada hasil perikanan. Karya Hoessein Enas, ‘Nafkah’, menyaksikan sekumpulan nelayan dengan seluruh tenaga mendorong bot pergi dan pulang daripada kawasan perairan. Manakala ‘Kelong’ karya Yong Mun Sen, memperlihatkan gantungan jaring-jaring jala yang berwarna jingga keperangan di tiang kayu kelong yang kurang kukuh. Kedua-dua karya ini manggambarkan kesungguhan dan kuatnya semangat para nelayan demi menyara kehidupan.

           Pada dekad 60-an sehingga 80-an, industri perikanan negara kian bertambah baik dan berkembang dengan pengenalan teknologi melalui pukat tunda dan kapal bermotor seperti karya ‘Water, Ship, Life 2’ oleh Chan Chiow Teng. Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada tahun 1970 menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk mengembangkan industri ini, yang telah dikenal pasti sebagai salah satu komponen utama Dasar Sekuriti Makanan, dan penting untuk mengatasi kemiskinan luar bandar.

           Semenjak tahun 2010, permintaan ikan kian meningkat dan perikanan laut dalam merupakan penyumbang utama kepada jumlah pengeluaran yang tinggi. Ia juga mempunyai prospek yang baik untuk pasaran eksport ke luar negara, bukan sahaja hasil segar dan sejuk beku malahan produk pengeluaran daripada sumber ini.