Di Malaysia terdapat pelbagai perusahaan perlombongan dijalankan antaranya ialah bijih timah, emas, arang batu dan bijih besi. Penemuan yang lebih awal ialah bijih timah, dan telah menarik para pedagang asing seperti dari Arab, India dan China untuk datang berdagang ke Tanah Melayu. Malahan timah turut dijadikan mata wang sewaktu era Kesultanan Melayu yang dikenali sebagai pitis, tra, bidur dan tampang. Mata wang emas pula disebut sebagai kupang, mas, atau dinar turut digunakan di pelbagai negeri.

          Melaka dan Pahang merupakan negeri yang awal mengeksport bijih timah manakala Perak lebih dikenali setelah penemuan bijih timah di Larut (tahun 1848) oleh Long Jaafar. Di peringkat awal, sebelum campur tangan British, masyarakat setempat menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan cara mendulang, kemudian dijadikan jongkong sebelum dijual. Kepesatan pengeluaran bijih timah dipergiatkan lagi setelah kemasukan buruh-buruh dari negara China.

           Antara kawasan perlombongan utama adalah Sungai Ujong, Lembah Kinta dan Lembah Klang. Menerusi perlombongan bijih timah inilah pertumbuhan bandar-bandar baharu seperti Taiping, Ipoh, dan Kuala Lumpur serta pembinaan jalan raya dan landasan kereta api dapat disaksikan. Kaedah kapal korek yang pertama telah digunakan oleh Malayan Tin Dredging Company di Batu Gajah (1912) menggantikan kaedah tradisional.. Di akhir abad ke-19, dengan penggunaan kaedah yang lebih moden, pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu merupakan antara yang terbesar iaitu sebanyak 55% pengeluaran dunia.

          Selain bijih timah, perlombongan emas turut dijalankan, tetapi bilangannya lebih kecil. Pada abad ke-16, pengeluar emas utama di Semenanjung ialah Pahang, dan hasilnya diperdagangkan di Melaka. Manakala di kepulauan Borneo, perlombongan emas dijalankan di Bau, Sarawak.

          Perkembangan industri memberi inspirasi kepada Long Thien Shih, untuk menghasilkan catan air, ‘Tin Mine’ (1962), yang merupakan dokumentasi perlombongan bijih timah dan menjelaskan struktur palung di lombong. Palung ini digunakan untuk mengasingkan bijih timah daripada bendasing lain. Manakala karya fotografi hitam putih Eric Peris, ‘Dulang Washers’ ini merakamkan kegigihan para pendulang dalam suasana tahun 1970-an di kawasan lombong dedah.

           Semenjak kemerosotan pasaran timah dunia pada tahun 1985, perusahaan ini turut menurun. Mengikut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), bilangan lombong sehingga tahun 2018 ialah 19 buah sahaja. Namun demikian, Malaysia masih merupakan antara pengeluar dan pelebur logam terbesar di dunia dan ia masih berpotensi untuk berkembang kembali secara mampan tanpa menjejaskan alam sekitar.