Kaya dengan sumber alam, penduduk Malaysia sering menabur bakti kepada tanah dan ia menjadi tumpuan pekerjaan terutamanya sewaktu sebelum merdeka. Aktiviti pertanian utama negara antaranya ialah penanaman padi, getah dan kelapa sawit.

           Beras merupakan makanan ruji penduduk dan menjadi tanaman utama negara. Penanaman padi secara kekal di Semenanjung Malaysia bermula pada abad ke-10 di Sungai Muda, Sungai Merbok (Kedah-Perlis) dan kawasan lembah sungai di Kelantan dan Terengganu. Manakala padi huma atau padi bukit, ia lebih banyak didapati di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung.

           Sektor pertanian sering menawarkan landskap hijau dengan elemen kedamaian yang sering menjadi inspirasi ramai para seniman. Dalam pameran ini, karya ‘Windy Day’ oleh Abdullah Ariff menggambarkan sebuah kawasan menghijau yang mendatar dan subur bagi penanaman padi.



           Revolusi Industri yang meletus pada tahun 1889 di Eropah telah mendorong mereka untuk mencari kawasan yang kaya dengan hasil bumi dan Tanah Melayu menjadi antara pilihan. Dengan kedatangan kuasa barat terutamanya British telah memberi impak yang besar terhadap ekonomi di Tanah Melayu.

           Pada tahun 1900 hingga 1941, telah muncul sumber ekonomi yang baharu seperti perusahaan getah dan kelapa sawit. Kemasukan buruh-buruh asing dari negara China dan India ke Tanah Melayu telah mewujudkan penempatan berdasarkan corak kegiatan ekonomi mengikut kaum. Di Sabah dan Sarawak pula pekebun kecilnya terdiri daripada kaum Cina dan pribumi.


Forest
HU TE HSIN, RUBBER TAPPER, 1960-AN


           Karya Hu Te Hsin yang dihasilkan menggunakan batik pada tahun 1960-an secara visual merakamkan pemandangan kawasan kebun getah serta wanita-wanita kaum India berpakaian sari sedang berjalan keluar dari kebun setelah menoreh getah.

           Dengan pertambahan infrastruktur seperti jalan raya, kereta api, dan sistem komunikasi, pengeluaran getah terus meningkat sehingga mencecah 57% daripada pengeluaran dunia (tahun 1926). Sehingga dekad ini, perusahaan getah masih menyumbang kepada komoditi negara dan Malaysia merupakan pembekal sarung tangan getah utama dunia. Berasal dari Afrika Barat, Kelapa sawit mula ditanam di Kuala Selangor. Namun Johor lebih dikenali sebagai pengeksport utama pada akhir tahun 1920-an dan kini Sarawak mempunyai keluasan ladang estet terbesar negara.

           Kepentingan dan sumbangan sektor pertanian kepada perkembangan ekonomi Malaysia tidak dapat dinafikan. Penglibatan generasi muda dalam teknologi digital dan amalan pertanian pintar, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0, dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti tanaman. Menerusi pengurangan import pertanian, sektor ini juga berpotensi tinggi untuk memakmurkan taraf hidup rakyat.