Kedudukan geografi Malaysia yang strategik terutamanya sewaktu era Kesultanan Melayu Melaka di kurun ke-15, menjadikan ia sebagai pusat perdagangan yang unggul. Laluan utama kapal-kapal dagang di Selat Melaka menghubungkan sumber ekonomi Asia terutamanya dari Benua India dan China. Dari kawasan pelabuhan, transaksi antara para pedagang diteruskan pula oleh para peniaga untuk masyarakat setempat.
Bandar-bandar kian bercambah di serata negeri berhampiran dengan pusat sumber ekonomi. Menerusi jalinan dagangan dan penjajahan, populasi penduduk di Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo kian bertambah, justeru keperluan dan kehendak seharian juga lebih pelbagai. Terdapat banyak barangan ditawarkan daripada para penjaja atau pun peniaga sama ada di jalanan mahupun di kedai. Di peringkat awal, mereka berniaga daripada hasil kebun, ladang, sawah padi, hasil laut dan sungai atau pun barang dagangan seperti rempah-ratus dan kain-kain.
Seperti dalam karya fotografi Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, ‘Pasar Tepoh, Terengganu’ yang dirakam pada tahun 1959, ia memperlihatkan aktiviti nyata di pasar. Tumpuan diberikan kepada dua wanita yang sedang menjual makanan seperti ubi rebus.
Ketika menjual barangan mereka, para peniaga menggunakan pelbagai cara seperti penggunaan bakul anyaman dalam ‘Hari Pasar di Kelantan’ karya Harun A. Bakar dan ‘Durian Sellers’ oleh Chuah Thean Teng kepada basikal roda tiga yang kelihatan dalam ‘Trade Tricycle’ yang turut digambarkan oleh Sultan Terengganu ketika itu iaitu, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pasar-pasar di Malaysia kebiasaannya berwarna-warni, dipenuhi peniaga dan pembeli daripada masyarakat setempat. Adakala ia dikunjungi oleh pelancong asing dan tempatan untuk merakam asam garam dan citra budaya di situ sambil menyaksikan aktiviti jual beli dan tawar-menawar. Antara pasar yang terkenal ialah Pasar Siti Khadijah (Kelantan), Pasar Chowrasta (Pulau Pinang), Pasar Tamu (Sabah) selain daripada pasar tani, pasar malam serta pasar karat yang menjual barang-barang terpakai atau antik. Di kurun ke-21 ini, sejajar dengan perkembangan ekonomi, kita dapat menyaksikan pertumbuhan pasar raya, kompleks membeli-belah dan e-pasar yang semakin meluas dan menjadi pemangkin sektor ekonomi negara.