Tahun 2020, merupakan permulaan terhadap sebuah peperangan yang tidak dapat dilihat menerusi mata kasar tapi dirasai di serata dunia. Coronavirus (COVID-19) merupakan titik tolak kepada kehidupan dalam norma baharu merangkumi segenap perspektif; interaksi dan komunikasi sesama manusia. Yang dulu rapat, sekarang dijarakkan. Yang dulunya berdepan,sekarang dimayakan. Perkara dan perkataan yang jarang-jarang atau tidak pernah berlaku atau disebut telah menjadi kebiasaan; Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), slogan ‘Kita Jaga Kita’, pelitup muka, vaksin, perintah kuarantin di rumah, malah melakukan pelbagai urusan dalam talian.


Bingkas Berdiri: Naratif Seni COVID-19

Ungkapan Perkhidmatan Perlu dan Bukan Keperluan Utama juga rancak diperkatakan di sekitar awal permulaan pandemik. Bukan perkhidmatan keperluan utama, seniman, sudah tentunya, golongan yang terkesan akibat penularan pandemik ini. Pameran seni visual dan persembahan, namun kini semuanya terbatas. Ada seniman yang sempat membeli bahan untuk berkarya, ada pula yang tidak berkesempatan, jadi melalui kreativiti, terlahirlah karya-karya baharu mereka. Ada yang buntu peringkat awalnya apabila terlalu lama terkurung, jadi mereka harus lepaskan kekangan itu!


Bingkas Berdiri: Naratif Seni COVID-19

Suasana berbeza, pihak galeri dan para seniman berada dalam keterbatasan untuk mengaktifkan diri. Cara berpameran dan mengambil bahagian turut melalui fasanya, daripada secara fizikal-maya-fizikal dengan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka, semua diambil kira bagi mencegah penularan virus yang mengancam nyawa ini.

Setelah beberapa tahun diselubungi ketidakpastian, pengumuman fasa peralihan ke endemik memberikan suatu sinar kepada seniman-seniman kita. Sememangnya, pameran ini merupakan luahan pengalaman diri para seniman serta pengamatan kehidupan di sekeliling dalam gaya dan cara mereka tersendiri semasa era pandemik. Namun, pameran ini diharapkan dapat melabuhkan tirai kepada perasaan dan memori menghadapi COVID-19 dan seterusnya menjadikan semangat untuk bingkas bangkit menggapai peluang yang masih terbentang luas.



Pameran maya ‘Bingkas Berdiri: Naratif Seni COVID-19’ menggabungkan hasil karya lebih daripada 25 orang seniman senior dan muda antaranya Adeputra Masri, Adib Rawi, Al-Khuzairie Ali, Anisa Abdullah, Awang Damit Ahmad, Azneal Ishak, Bayu Utomo Radjikin, Cheong Tuck Wai, Choong Kam Kow, Donald Abraham, Hasnoor Hussain, Husin Othman, Nadirah Zakariya, Najib Bamadhaj, S.C. Shekar, Shukri Elias, Umibaizurah Mahir dan ramai lagi.


Galeri 1 : Demi Kesihatan dan Keselamatan


Galeri 2 : COVID-19, Semua Terkesan!