Siapa sangka kehidupan kita berubah dengan sekelip mata. Mulai awal Januari 2020, kita diuji dengan virus yang menular begitu cepat, Novel Coronavirus atau lebih dikenali umum sebagai COVID-19. Kita kian bergantung kepada sektor perubatan yang menjadi benteng utama negara yang disokong oleh anggota keselamatan bagi membendung penularannya. Media massa menjadi santapan setiap hari, bagi mendapatkan maklumat terkini dan juga mempelajari cara hidup norma baharu.
Antara usaha awal yang dilakukan untuk mengekang COVID-19 ini adalah melalui penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta mengimbas ‘MySejahtera’. Seniman senior, Choong Kam Kow mengolah karyanya, ‘Co-exit 12: Social Distancing’ dengan mengutarakan kepentingan setiap individu untuk bertanggungjawab menjaga diri dan orang sekeliling melalui pematuhan prosedur yang ditetapkan terutamanya penjarakan sosial dan patuh dalam penggunaan MySejahtera.
Co-exit 12 : Social Distancing
Choong Kam Kow
2020, Media campuran atas kanvas, 122 x122 cm
Bayu Utomo Radjikin, menerusi ‘Wild Scent – Akrab’ memperlihatkan bagaimana virus ini umpama bunga liar berwarna merah menyala meresap masuk ke dalam badan apabila kita menghidunya. Manakala, Ahmad Shukri Elias melakarkan L.S 8.7.21(1), singkatan daripada ‘Lockdown Series, 8 Julai 2021’, menggambarkan gejala-gejala yang dihidapi apabila dijangkiti COVID-19.
Wild Scent – Akrab
Bayu Utomo Radjikin
2020, Akrilik atas kanvas, 115 x 81 cm
L.S 8.7.21(1)
Ahmad Shukri Elias
2021, Media campuran atas kertas, 28 x 37cm
Barisan hadapan terutama pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat adalah benteng negara yang kental berkhidmat bagi memerangi COVID-19. Rawatan dan saringan dibuat tidak mengira jarak dan keadaan lokasi tersebut. Gambaran oleh Afif Abd Halim, memaparkan petugas barisan hadapan dengan Kelengkapan Pelindung Diri (PPE), berada di kawasan sekatan, iaitu di hadapan Plaza Pudu, Kuala Lumpur. Manakala di Labuan, Muqtadir Halim telah menjejaki pasukan pengurusan jenazah COVID-19 yang bertugas menguruskan pengebumian di kawasan tanah perkuburan khas.
New Normal
Afif Abd Halim
2020, Fotografi, Ihsan: The Malaysian Insight
COVID-19 Labuan
Muqtadir Halim
2020, Fotografi, Ihsan: Bernama
Selain daripada itu, perkhidmatan pos turut menjadi tunjang, penyumbang kepada sektor ekonomi menerusi e-dagang selain membantu peniaga-peniaga bukan keperluan demi kelangsungan hidup. Di sebalik suasana lengang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, perkhidmatan pos tetap mengurus dan memastikan barang-barang sampai ke destinasi. Safwan Mansor mengikuti perkembangan ini dan merakam suasana kesibukan perkhidmatan pos pada waktu subuh.
Courier Service, May 16
Safwan Mansor
2020, Fotografi, Ihsan: Bernama
21 Februari 2021, kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech yang pertama telah tiba di Malaysia, membawa harapan untuk menangani COVID-19 yang masih berlarutan. Dengan kehadiran vaksin ini, Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan mensasarkan 80 peratus imuniti kelompok bagi penduduk dewasa Malaysia. Detik-detik program ini telah dirakamkan oleh Azneal Ishak.
People receiving AstraZeneca COVID-19 vaccine at the World Trade Centre (WTC) in Kuala Lumpur on May 05, 2021
Azneal Ishak
2021, Fotografi, Ihsan: Malaysiakini
Kehidupan ketika pandemik adalah antara detik yang paling sukar dalam sejarah kini dan mengingatkan kita bahawa segala-galanyanya boleh berubah dalam sekelip mata. Namun, ia juga mengajar kita untuk lebih menjaga diri dan kesihatan berbanding sebelum ini.
Dengan penambahbaikan gaya hidup dan menilai risiko sebelum membuat sesuatu keputusan, usaha sama setiap insan amat penting agar kekal sihat dan selamat.