COVID-19, Semua Terkesan!

Ketika dalam keadaan tidak bersedia, kita dikejutkan dengan cabaran yang belum pernah berlaku hampir serentak di serata dunia yang menjejaskan kesihatan awam, sosial dan ekonomi. Kesan penularan COVID-19 amat besar sehingga dirasai oleh hampir setiap individu tanpa mengira usia dan latar belakang.

Pada 18 Mac 2020, S.C. Shekar menggambarkan keadaan di sekitar Kuala Lumpur, kota yang tidak pernah lelap telah menjadi lengang dan sunyi. Baginya perasaan yang dirasai begitu menakutkan.


Jalan yang biasanya sibuk di sepanjang Bangunan Sultan Abdul Samad lengang pada 4.30 petang ketika hari pertama PKP

S.C Shekar
2020, Fotografi


COVID-19, Semua Terkesan!

Penutupan muzium, galeri, dan ruang persembahan menyebabkan penangguhan acara seni dan kebudayaan. Ramai para seniman kehilangan peluang untuk membuat persembahan dan berpameran. Namun, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkarya.

Dalam suasana yang tidak menentu dan terkurung ini, Haslin Ismail telah menggambarkan dunia roti yang berwarna-warni dengan pelbagai karakter, hanya dengan menggunakan pensel warna. Roti-roti tersebut kelihatan digabungkan menjadi sebuah ‘kanvas’ untuk beliau menghidupkan imaginasi.



A Gathering

Haslin Ismail
2020, Pensil warna atas kertas, 42 x 59cm

COVID-19, Semua Terkesan!

Menurut Adeputra Masri, ketika PKP mula dilaksanakan, beliau kekurangan bahan untuk menghasilkan karya. Setelah seketika, beliau mengambil pendekatan untuk membuat ilustrasi komik yang berbentuk hiburan dengan menggunakan pen dan kemudiannya diolah secara digital. Menerusi perkongsian beliau di ‘Facebook’, ramai yang terhibur dan menunggu akan episod yang seterusnya. ‘Kopikartun Edisi Khas PKP’ mengisahkan tentang isu semasa, gelagat dan aktiviti bersama keluarga di rumah ketika dalam PKP.



Kopikartun Edisi Khas PKP

Adeputra Masri
2020, Digital

COVID-19, Semua Terkesan!

Menerusi karya ‘Circle of Change’ yang dihasilkan oleh Al-Khuzairie menggunakan seramik sebagai medium utama, beliau membentuk emotikon-emotikon yang digunakan dalam komunikasi elektronik, disusun menjadi bentuk hati. Manakala di sebelahnya, beliau mencipta emotikon-emotikon baharu yang berkaitan dengan isu kesihatan dan mencerminkan dunia pandemik yang bergantung kepada perubatan.



Circle of Change

Al-Khuzairie Ali
2020, Seramik dan media campuran, 105 × 103 cm


COVID-19, Semua Terkesan!

Daripada kesibukan kota dengan aktiviti masyarakat yang pelbagai di mana-mana sebelum ini, kehidupan kita lebih tertumpu di kediaman sahaja. Alam semula jadi kian mekar tumbuh melata, termasuk sungai-sungai yang semakin jernih akibat pengurangan aktiviti manusia yang terhenti mendadak terutamanya sewaktu PKP pertama. Seperti karya digital Donald Abraham, yang menunjukkan kemeriahan aktiviti masyarakat berbanding kemeriahan alam semula jadi.



Untitled

Donald Abraham
2021, Digital


COVID-19, Semua Terkesan!

Sedikit demi sedikit kita dapat lihat dan merasai kesan pandemik terutamanya terhadap ekonomi daripada pelbagai sektor. Banyak yang hilang punca pendapatan ekoran daripada penutupan sektor-sektor yang bukan utama. Visual oleh Hasnoor Hussain di Pulau Redang yang sebelum ini bergantung kepada sektor pelancongan, mendapati bahawa penduduk setempat telah beralih kepada pertanian untuk kelangsungan hidup.



Redang folk turn to farming to survive pandemic

Hasnoor Hussain
2021, Fotografi, Ihsan: The Malaysian Insight

COVID-19, Semua Terkesan!

Dari sudut kesan jangka panjang, pengasingan dan penjarakan sosial telah memberi impak kepada kesihatan psikologi, produktiviti, dan tingkah laku. Jika kita imbas kembali ketika COVID-19 mula menyerang, kita merasakan seolah-olah sukar untuk mencari sinar dalam kegelapan. Namun, setelah mengatur strategi, mengambil langkah kawalan, kini kesemua sektor ekonomi telah dibuka kembali dan menuju ke fasa endemik dengan pelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP). Kesan ini turut disumbang oleh kadar vaksinasi yang tinggi di setiap negara.


COVID-19, Semua Terkesan!

Dalam apa jua perancangan dan situasi di hadapan, kita tempuhi dengan mengambil langkah berjaga demi kepentingan kesihatan dan keselamatan. Walaupun kita mungkin akan terus hidup bersama COVID-19 untuk jangka masa yang panjang, kita harus terus bingkas bangkit meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam suasana norma baharu yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.