Kadang kala, pengalaman semasa zaman kanak-kanak meninggalkan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan. Nasihat berguna serta nilai-nilai murni yang diterima semasa kecil berupaya membentuk peribadi seseorang. Kisah burung kelicap atau The Hummingbird Story mengandungi nilai yang sedemikian. Ia mengisahkan tentang Mat, budak berusia sepuluh tahun yang berusaha untuk bekerja keras, menjadi bijak dan boleh berdikari. Pengalaman Mat bertembung dengan burung kelicap telah mengubah kehidupannya. Pengalaman ini memberi pengajaran bermakna dalam disiplin kewangan, serta asas kejayaan iaitu kepentingan bekerja keras.
Berlatarkan perkampungan tradisional pada awal pembentukan Malaysia pada tahun 1960-an, Mat telah diajar oleh ibunya sejak kecil lagi bahawa kebolehan seseorang untuk membelah kelapa membuktikan ketekunan dan kebolehannya untuk menjadi bijak dan berdikari. Sifat ingin tahu Mat untuk mencari hubungan antara kejayaan dengan kerja keras telah menyebabkan beliau mengimbas semula kisah di sebalik kejayaan ahli keluarga dan orang dewasa di sekelilingnya termasuk bapanya, gurunya yang bernama Puan Moira Hew, neneknya yang merupakan seorang bidan dan Pakcik Raman, pekedai runcit yang peramah. Adakah mereka juga sangat berkebolehan membelah kelapa?
Dari semasa ke semasa, nilai teras dan tabiat terpuji yang Mat teladani selama ini menjadi panduan buatnya untuk mengurus kewangan dengan berhemat dan melatih dirinya untuk membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab. Pengalamannya bertemu dengan burung kelicap yang mempesonakan di tempat yang paling tidak disangka-sangka beberapa dekad kemudian, mengingatkan Mat tentang ciri-ciri positif yang perlu ada dalam diri seseorang. Pengalaman ini juga mengingatkannya mengenai bagaimana keinginan untuk mengumpul kekayaan tidak seharusnya didorong oleh sifat tamak yang boleh mendedahkan dirinya kepada skim penipuan kewangan.