Seni Penceritaan

Sebelum adanya panggung wayang moden dan televisyen seperti hari ini, lebih awal lagi masyarakat kita didedahkan dengan persembahan wayang kulit yang merupakan salah satu warisan negara. Dalanglah yang akan menggerakkan patung-patung wayang kulitnya di balik layar sambil bercerita kepada khalayak penonton. Begitu juga para seniman seni rupa pada hari ini, sama-sama bercerita dengan menggunakan gaya mereka tersendiri melalui lukisan, arca, instalasi dan multimedia. Pelbagai cerita disampaikan, daripada kisah asal seperti Hikayat Seri Rama dan Pandawa Lima, yang diadaptasi daripada epik Hindu sehinggalah cerita-cerita lain yang berkembang dengan suntikan cerita semasa.

Pameran GERAK BAYANG: Seni Penceritaan berkisarkan wayang kulit daripada rupa bentuk dan ciri-ciri tradisional sehinggalah watak-wataknya dizahirkan di atas kanvas selain senimannya ada yang bercerita menggunakan kaedah media baharu. Seramai lebih daripada 35 orang seniman seperti Nik Zainal Abidin, Long Thien Shih, Ismail Mat Hussin, Masnoor Ramli Mahmud, Adeputra, Haris Abadi dan Ismail Awi dikumpulkan dalam pameran ini untuk kita nikmati dan amati serta memaknai ‘suara’ mereka yang secara tidak langsung memberi kesedaran dalam memastikan kelestarian para Dalang dan seni persembahan wayang kulit.

PENGENALAN

Keindahan seni persembahan tradisional kita dapat dilihat di setiap negeri di Malaysia yang masing-masing mempunyai keseniannya tersendiri. Antaranya ialah penceritaan secara lisan yang diamalkan orang-orang dahulu dan telah merentasi banyak generasi. Dalam budaya Melayu, tukang cerita dikenali dengan pelbagai nama seperti penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil melalui gaya bercerita yang tersendiri. Bagi persembahan wayang kulit pula, tukang ceritanya dikenali sebagai Tok Dalang. Betapa hebatnya, mereka memahami dan menghafal pelbagai jalan cerita serta menjiwai watak dan menyampaikannya secara spontan kepada khalayak. Kesenian ini perlu diturunkan ke pelapis berikutnya dan di sinilah pentingnya peranan para pengkaji, untuk mendokumentasikan seni persembahan tradisional sebagai warisan yang perlu dipertahankan.

Pameran GERAK BAYANG: Seni Penceritaan ini, membawakan pelbagai karya seni rupa yang berkisarkan tema wayang kulit, termasuklah beberapa patung wayang untuk diamati dan dihargai. Lebih daripada 35 orang seniman telah dikumpulkan dalam pameran ini, antaranya Nik Zainal Abidin, Long Thien Shih, Shafie Hassan, Ismail Mat Hussin, Syed Thajudeen, Chang Fee Ming, Taquddin Bahro, Haris Abadi, Nik Husyaidie dan Ismail Awi.

Wayang kulit di Malaysia banyak dipengaruhi oleh negara-negara serantau. Wayang Kulit Kelantan (Kelantan) dan Wayang Gedek (Kedah), dipengaruhi oleh Wayang Kulit Siam. Manakala Wayang Purwa atau Wayang Jawa (Johor) telah dibawa oleh mereka yang berhijrah dari tanah Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu. Uniknya Wayang Melayu pula ia merupakan gabungan unsur Jawa dan Kelantan yang dahulunya pernah dimainkan di Kelantan dan Terengganu.

Selain daripada cerita-cerita asal yang terkenal seperti Hikayat Seri Rama dan Pandawa Lima yang diadaptasi daripada epik Hindu Ramayana dan Mahabharata, kini dalang turut membawakan cerita-cerita yang telah disuntik dengan isu semasa. Watak-watak baik dan jahat diketengahkan bagi memberi kesedaran dan pendidikan, disamping suatu bentuk hiburan masyarakat. Seri Rama, Siti Dewi, Hanuman dan Rawana merupakan antara watak-watak penting dalam Hikayat Seri Rama. Selain itu watak-watak lain seperti Pak Dogol, Wak Long, Samad dan Said juga begitu dikenali dalam persembahan Wayang Kulit Kelantan.

Bagi memastikan adanya kesinambungan, sebahagian ahli kumpulan wayang kulit telah menjadi tenaga pengajar di beberapa buah institusi pengajian tinggi seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Namun tugasan ini perlu mendapat sokongan banyak pihak untuk memberikan semangat yang lebih tinggi kepada penggiat wayang kulit dalam meneruskan perjuangan mereka.

Selain daripada para seniman seni rupa yang menterjemahkan tema wayang dalam karya mereka, para pengkaji dan hasil pendokumentasian perlu disebar luaskan dengan lebih efektif untuk dibaca, ditonton, dirujuk dan diperbincangkan agar usaha semua pihak lebih diketahui dan dihargai demi pelestarian harta warisan kita ini.

wyg
Wayang Kulit Kelantan Oleh Nik Zainal Abidin Nik Salleh

LAYAR DALANG

Dalang… jemarinya lincah, mengayunkan patung-patung wayang kulit dari kanan dan kirinya yang tersusun rapi mengikut jalan cerita. Melihat gerakan bayang di kelir, mendengar lantunan suara Dalang yang pelbagai mengikut watak-watak yang dimainkan, serta alunan muzik melengkapi persembahan kumpulan wayang kulit boleh memukau penonton di hadapan panggung.

Dahulu panggung wayang kulit merupakan antara tempat yang menjadi titik pertemuan masyarakat untuk melepaskan lelah setelah siangnya berhempas-pulas mencari rezeki. Dalam menghiburkan penonton-penontonnya, Dalang akan bercerita kisah-kisah tradisional wayang kulit yang mengandungi unsur pengajaran dengan sisipan dalam bentuk jenaka bagi menarik perhatian penonton termasuklah nilai-nilai kekeluargaan. Di sepanjang persembahan berlangsung, penonton juga santai bebas bergerak di bawah sinaran bulan.

Pohon beringin merupakan patung yang paling awal dan terakhir akan dilihat oleh penonton menandakan permulaan dan berakhirnya suatu persembahan. Pohon beringin yang dipacakkan oleh Dalang di balik kelir, mengandungi ‘hidupan’ di dalamnya seperti haiwan dan bunga-bungaan. Dalam pameran ini juga beberapa watak wayang kulit boleh diperhatikan seperti Seri Rama yang berwarna hijau tua dan merah, serta Laksamana yang berwarna merah dan emas.

Di bahagian Layar Dalang ini, kita dapat menyaksikan beberapa karya yang menggambarkan latar di belakang dan hadapan panggung wayang kulit serta perincian dan kepelbagaian watak-watak wayang seperti dihasilkan oleh Ismail Mat Hussin, Long Thien Shih, Yusoff Abdullah, dan Nik Zainal Abidin.

Selain itu terdapat beberapa karya dan patung yang bukan hanya dari Wayang Kulit Kelantan, tetapi juga beberapa patung di Nusantara serta gambaran mural seni budaya yang terdapat di bangunan Muzium Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Stadium Negara yang penting untuk diamati bersama.

wyg2
Wayang Kulit Oleh Ismail Mat Hussin

KINI DI LAYAR

Melalui peredaran masa, cara dan teknik penyampaian cerita semakin berkembang. Daripada Dalang yang melakukan persembahan wayang kulit di pentas panggung, peranan tukang cerita turut dimainkan oleh pelukis, pengarca, serta pereka grafik dan animasi. Malah khalayak juga boleh menonton cerita di layar pawagam mahupun televisyen serta media sosial.

Para seniman bukan hanya sekadar membentuk rupa tetapi olahan cerita dan watak turut mengikut keadaan semasa antaranya seperti Seri Rama dan Siti Dewi berada di dunia hari ini. Ada juga yang menggabungkan watak animasi popular dalam karya mereka. Ia dapat dilihat seperti karya-karya catan Mohd. Shaimy Hashim, Taquddin Bahro, dan Masnoor Ramli Mahmud. Manakala, siri arca dinding Mad Anuar, setiap wataknya mempunyai warna seperti dalam Wayang Kulit Kelantan iaitu Seri Rama berwarna hijau, Hanuman pula berwarna putih. Pancaran karya Haris Abadi pula mengungkap suasana kehidupan sekeliling terutamanya latar kekeluargaan dalam karya animasi digitalnya ‘Dapur-dapur’.

Terdapat juga cerita-cerita yang ditayangkan di pawagam dan televisyen yang menyentuh tentang perwayangan atau konsep wayang kulit seperti ‘Wayang’ arahan Hatta Azad Khan, ‘Pak Dogo’ arahan Sabri Yunus serta animasi filem pendek ‘The Dalang’s Tale’ terbitan R&D Studio. Kemudian muncul juga pementasan ‘Wayang Sakti’ (2021) di Istana Budaya arahan Che Kem yang menggabungkan teknologi realiti maya dan pengesan gerakan untuk memberi kesan yang lebih imersif.

Pada tahun 2022, Wayang Kulit Animatronik yang dikendalikan secara robotik tanpa melibatkan kumpulan wayang kulit secara fizikal juga memeriahkan dunia perwayangan.

Kehadiran Covid-19 memberi kesan kepada dunia, yang telah mengubah gaya hidup, hubungan kemasyarakatan, serta aspek ekonomi. Tiada siapa yang terkecuali dan kebangkitan diri untuk menjana kehidupan perlu diteruskan termasuklah dunia persembahan tradisional dan seni rupa. GERAK BAYANG mengajak semua untuk meneroka lagi usaha untuk mempertahankan dan meningkatkan penghargaan terhadap seni perwayangan terutamanya pendalangan bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional ini. Melalui pendokumentasian secara digital, sumber rujukan dan pendedahan kepada khalayak lebih dapat diperluaskan. Usaha mempertingkatkan inovasi dalam berkarya juga boleh menarik minat khalayak untuk mengenali wayang kulit. Seandainya Seri Rama wujud hari ini, apa yang ingin diperkatakannya, akan kenalkah generasi mendatang akan dirinya?