Pameran ‘Titisan Warna’ menampilkan dua teknik seni yang utama di Malaysia: batik dan cat air. Sokongan berterusan Bank Negara Malaysia terhadap kedua-dua jenis lukisan bermula seawal tahun 1960-an sehingga kini. Batik dikenali bukan sahaja sebagai pakaian malah ia turut menjadi media seni halus. Pameran ini memaparkan koleksi lukisan batik yang kebanyakannya menggambarkan hubungan kekeluargaan serta pemandangan kampung. Diantara pengkarya-pengkarya yang terkenal termasuklah Chuah Thean Teng yang menjadi pelopor batik moden di Malaysia, Khalil Ibrahim, Ismail Mat Hussin, Tay Mo Leong, Yong Cheng Wah, Lim Khoon Hock (Toya) dan pelapis mereka, Lee Kian Seng.
Mempelajari cara menjangka dan mengawal sifat air ketika ia menyerap ke dalam kertas merupakan cabaran yang sering dihadapi dalam lukisan cat air. Antara pengkarya cat air yang utama di Malaysia adalah Abdullah Ariff, yang merupakan pelopor dalam aliran ini. Nama-nama besar yang lain termasuklah Nik Zainal Abidin, yang sering menggunakan tema wayang kulit, dan Tan Choon Ghee, dengan gambaran jalanan dan bangunan-bangunan setempat. Pengkarya-pengkarya lain yang turut diketengahkan adalah Tham Siew Inn, Wong Seng Tong, Rafie Abdul Rahman, Keng Seng Choo, Mansor Ghazalli, Sharifah Zuriah Aljeffri, Maamor Jantan dan Aminah Abdul Rahman.
10pg – 6ptg
Galeri Seni Aras 3
Masuk percuma