Pengenalan
‘Dari Samudera ke Gunungan’ menampilkan karya empat orang seniman yang kagum terhadap alam sekitar yang begitu luar biasa. Pengkhususan karya mereka adalah berbeza, menggambarkan suasana yang telah membentuk cara hidup manusia. Bagi karya-karya Ajis Mohamad dan mendiang Joseph Tan, kewujudan manusia dalam persekitaran yang digambarkan, hanyalah sekadar pengunjung. Manakala bagi Raphael Scott Ahbeng dan Yeong Seak Ling, kewujudan manusia pula adalah sebahagian daripada landskap.
Keempat-empat seniman ini telah meliputi seluas-luas ruang pemandangan yang terjangkau. Tidak seorang pun di antara mereka yang menggambarkan pemandangan dalam bentuk konvensional. Mereka bukannya sekadar merakam ciri-ciri topografi yang tidak bernyawa. Setiap seniman ini terpukau dalam dunia yang berbeza. Gabungan kepelbagaian inilah yang menjadikannya Malaysia.